Friday 27 April 2012

Pejuang Budaya Bangsa 2

Md. Aripin Said

Bidang Seni yang Diperjuangkan : Lagu Rakyat

Pencapaian :
1. Membuat persembahan lagu rakyat di dalam dan luar negara.
2. Merakamkan album lagu-lagu rakyat.
3. Mendapat anugerah Tokoh Budaya Pahang 1998.

Latar Belakangnya :
Dato’ Aripin Said dilahirkan pada 11 Disember 1948 di Kampung Batu Bor, Bera, Temerloh, Pahang Darul Makmur. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Bohor dan Sekolah Kebangsaan Kuala Bera. Selepas itu, beliau bersekolah pula di Sekolah Menengah Abu Bakar di Temerloh. Beliau kemudiannya memasuki Maktab  Perguruan Kuantan.

  Selepas tamat kursus perguruan beliau ditugaskan mengajar di beberapa buah sekolah di Terengganu dan Pahang. Dalam tahun 1976/1977 beliau mengikuti Kursus Penulisan Kreatif di Universiti Sains Malaysia dan kemudiannya kembali bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah di Pahang sehingga dilantik sebagai Guru Besar di sebuah sekolah di Triang, Pahang.

  Pada tahun 1983-1986, beliau telah menyambung pelajarannya di Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (B.Ed.) dalam disiplin Bahasa (Linguistik), Sastera dan Pendidikan. Selepas mendapat Ijazah pertamanya, beliau menyambung pelajarannya untuk mendapatkan Sarjana Sastera (M.A.) di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sarjana Pendidikan di Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia).

   Di samping beban tugas akademiknya beliau masih mampu bergiat cergas dalam sastera dan budaya. Beliau juga banyak membuat penyelidikan budaya tradisional di dalam dan luar negeri. Beliau juga tergolong dalam penulis prolifik yang banyak menghasilkan novel-novel dan antologi cerpen. Beliau telah menghasilkan lebih 20 buah novel, antologi cerpen, puisi dan cerita rakyat. Di antara hasil penulisan beliau ialah novel ‘Menungkah Gelombang’ (Pustaka Mastika 1989, KL), antologi  cerpen ‘Sebuah Warung di Tengah  Kota’ (Pustaka Mastika 1989, KL), antologi Cerita Rakyat ‘Awang Sabdu dan Tok Guru’, ‘Racik Raja Putera’, ‘Cerita Awang Miskin’, ‘Tukang Canai Batu Permata’ serta antologi puisi perseorangan beliau ‘Pemain Rebana’(Azam Publisher 1990, KL).

  Selain bidang penulisan kreatif beliau juga bergiat cergas dalam pertubuhan-pertubuhan serta Persatuan-persatuan penulis. Di antaranya ialah:
1. Lembaga Pengarah Muzium Negeri Pahang
2. Ahli Persatuan Linguistik Malaysia
3. Aktivis GAPENA
4. Ahli Persatuan Sarjana Melayu Malaysia
5. Ahli Persatuan Sejarah Malaysia Caw. Pahang
6. Lembaga Pengarah Pusat Seni Pahang
7. Jawatankuasa Hal Ehwal Kebudayaan UPM dll.

  Sebagai seorang penulis yang prolifik beliau pernah memenangi pelbagai pertandingan penulisan di dalam negeri anjuran beberapa badan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain. Dalam lapangan Sastera Rakyat, selain menulis cerita-cerita rakyat beliau juga satu-satunya penyanyi lagu-lagu rakyat yang banyak di undang membuat persembahan di dalam dan luar negeri. Lagu-lagu rakyat Pahang seperti ‘Indung-Indung dan Tebang Tebu’ merupakan antara lagu-lagu yang sering dinyanyikan beliau dalam persembahannya.



No comments:

Post a Comment